ALOR SETAR: Pekerja sebuah hotel bajet di tengah Bandaraya Alor Setar sekali lagi menempuh detik cemas apabila berlaku kebakaran keempat hari ini hanya dalam tempoh sebulan.

Kali ini, ia membabitkan kebakaran sebuah bilik di tingkat atas bangunan dua tingkat itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 9.28 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi.

“Ketika sampai api sedang marak di tingkat atas hotel yang tidak berpenghuni itu dan api berjaya dipadamkan sepuluh minit kemudian.

“Ini adalah kali keempat dalam tempoh bulan ini kebakaran berlaku di hotel berkenaan.

“Struktur yang diperbuat dengan kayu dan papan di tingkat atas yang terdapat lapan bilik di hotel bajet terbabit menyebabkan mudah terbakar.

“Manakala di tingkat bawah diperbuat dengan simen mempunyai lima bilik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya mujur ketika kejadian tiada pengunjung yang menginap di hotel terbabit.

Mohamadul Ehsan memaklumkan, setakat ini bomba masih menjalankan siasatan bagi mengetahui punca kerapnya berlaku kebakaran di premis terbabit.